BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 29, 2009

Laporan kajian tindakan 1 (kolokium 09)

Meningkatkan Penglibatan Dan Kefahaman Pelajar Dalam Mata Pelajaran Pendidikan Jasmani Dan Pendidikan Kesihatan Khususnya Bagi Tajuk Pertolongan Cemas Tingkatan 1 Dan Tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Puchong, Selangor.


Oleh: Yusnaini bt. Abd Hamid (P 48654), Siti Nadia bt. Khalid (P 48959)
Penyelia :Pn. Norsakinah Mohamad

1) Penyataan Masalah
Kajian ini adalah berkaitan dengan sejauh manakah kaedah pengajaran berasaskan simulasi dapat meningkatkan tahap pengajaran guru bagi tajuk Pertolongan Cemas Tingkatan 1 dan Tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Puchong, Selangor. Kajian ini memberi penumpuan kepada penambahbaikan kepada kaedah pengajaran guru dalam mata pelajaran pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan iaitu dengan menumpukan kepada tajuk pertolongan cemas tingkatan 1 (DRABC) dan tingkatan 2 (TOTAPS) melalui kaedah simulasi kerana kebiasaan guru-guru hanya menggunakan kaedah penerangan teori semata-mata untuk bahagian kemahiran sukan dan rekreasi dan menyebabkan pelajar kurang memahami prosedur perlaksanaan pertolongan cemas tersebut. Selain itu juga pelajar juga kurang berminat dan kurang terlibat secara aktif dalam pembelajaran topik sebelumnya apabila guru menajar menggunakan kaedah teori semata-mata.

2) Metodologi, Setting Kajian, Sampel Kajian
Menggunakan Model Kemmis dan McTaggart (1988) sebagai panduan kajian iaitu dengan menggunakan 2 kitar.
Dalam kitar pertama, perancangan dibuat iaitu dengan memilih kaedah simulasi bagi tajuk tersebut dan responden ialah melibatkan 40 orang pelajar iaitu 20 orang tingkatan 1 dan 20 orang tingkatan 2. Simulasi dilakukan hanya di dalam kelas dan pelajar membentuk kumpulan sendiri. Pelajar kemudian dikehendaki berbincang mengenai topik tersebut dan membuat perbentangan di dalam kelas.

3) Pengumpulan dan penganalisaan data
Pengumpulan data kemudian dilakukan melalui kaedah pemerhatian, temubual, ujian penilaian dan catatan buku rekod. Hasil kajian kemudian dibuat refleksi dan diteruskan dengan kitar kedua. Melalui refleksi yang dilakukan, terdapat penambahbaikan iaitu simulasi dilakukan di dalam dewan terbuka di mana mempunyai ruang yang lebih luas dan gabungan kelas tingkatan 1 dan tingkatan 2 turut dilakukan. Kitar diteruskan dengan pengumpulan dan penganalisaan data seperti di kitar 1. Dapatan kajian melalui pemerhatian menunjukkan pelajar seronok belajar melalui kaedah simulasi di mana pelajar terlibat secara aktif. Melalui temubual kepada beberapa pelajar terpilih juga menunjukkan pelajar seronok dan setuju kaedah simulasi diteruskan untuk subjek lain juga. Melalui ujian penilaian, ujian penilaian 2 dilakukan selepas sesi pengajaran dilakukan di dewan terbuka menunjukkan hasil yang lebih tinggi berbanding sesi simulasi dilakukan di dalam kelas. Hasil dapatan juga menunjukkan kaedah kolaboratif iaitu gabungkan kelas membolehkan pelajar lebih bekerjasama dan dapat sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan. Catatan buku rekod terhadap refleksi kendiri pelajar juga menunjukkan peningkatan terhadap penglibatan pelajar.

4) Implikasi Kajian
Kajian ini menunjukkan kaedah simulasi merupakan cara terbaik dan berkesan digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran khususnya tajuk Pertolongan Cemas amat berkesan terutamanya untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap tajuk tersebut.

5) Apa Yang Dapat Dipelajari Dari Kajian Tersebut
Melalui kajian ini, dapat saya pelajari bahawa sesi pengajaran lebih berkesan apabila dilakukan melalui kaedah simulasi berbanding hanya melalui teori semata-mata. Melalui kaedah simulasi, pelajar lebih mudah memahami isi sesuatu topik pengajaran dan lebih mudah mengingati kerana diajar secara praktikal dan bukan teori semata-mata. Pelajar juga akan lebih mudah memahami sesuatu topik tersebut. Selain itu juga, pelajar lebih berminat dan akan terlibat secara aktif kerana kaedah simulasi merupakan kaedah berpusatkan pelajar berbanding mengajar secara teori yang hanya berpusatkan guru. Selain dari itu, saya juga mendapat pendedahan awal mengenai kajian tindakan selain turut mempelajari dan mendapat gambaran mengenai model Kemmis & McTaggard (1988). Walau bagaimanapun, saya rasa tajuk perlu diubah kepada kaedah simulasi dalam pendidikan jasmani dan kesihatan .

Tuesday, October 27, 2009

TUGASAN KELAS : Kepentingan Kajian Tindakan Kepada Guru

  1. Membantu guru berhubung dengan penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
  2. Menyediakan ruang kepada guru untuk menggilap kreativiti dan inovasi terutama dalam menyelesaikan permasalahan dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid
  3. Membantu guru untuk memperkembangkan profesionalisme melalui proses penemuan kendiri
  4. Membantu guru mencari pendekatan pengajaran yang lebih sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran
  5. Mendapat sumber maklumat penting untuk memahami amalan pengajaran guru, amalan pembelajaran murid, keadaan murid, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya.
  6. Dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memudahkan pencapaian objektif dan dapat pula memahami, mengubah dan memahami amalan sendiri
  7. Membentuk budaya penyelidikan sebagai asas dalam membuat sebarang perancangan untuk tindakan
  8. Merapatkan perhubungan guru yang terlibat melalui kerjasama secara kolaboratif
  9. Dapat merancang huraian mata pelajaran dengan lebih berkesan
  10. Dapat menambah kefahaman baru dan meningkatkan profesionalisma dalam profesion perguruan